Friday, 20 April 2012

Khalid Al-Walid......Saifullah....


KHALID AL-WALID  ra.
Pedang Allah
 
Perang Uhud dan Perang Muktah adalah dua keadaan yang berbeza sebagaimana berbezanya
peribadi Khalid bin Al-Walid. Dalam perang Uhud, beliau adalah panglima Quraisy yang berjaya
mengalahkan mujahid-mujahid Islam tetapi perang Muktah menampakkan penampilan Khalid
Al-Walid yang baru….Beliau adalah hero penyelamat di saat ambang kekalahan tentera Islam,
ini membuktikan bahawa beliau memang layak dikurniakan anugerah tertinggi panglima tentera
iaitu anugerah 'Pedang Allah'
 
Semasa belum memeluk Islam, beliau adalah musuh Islam yang paling digeruni di medan
perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam telah mendapat pengajaran
yang cukup hebat ketika perang Uhud dahulu.
Khalid al-Walid telah memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8H bersama-sama Uthman b
Talhah dan Amru b Al-As. Setelah itu, beliau adalah pahlawan yang berjuang menentang
orang-orang yang menentang Rasulullah SAW.
Berbicara tentang Khalid, tentunya tidak lengkap kalau tidak menceritakan tentang peristiwa
dalam peperangan Muktah yang memang terkenal itu.
   
Dalam Perang Muktah, tentera Islam yang sedikit bilangannya telah berdepan dengan lebih
kurang 200,000 orang tentera Rom. Dalam pertempuran tersebut, tentera Islam telah mendapat
tentangan yang cukup dahsyat nyaris-nyaris menerima kekalahan. Bendera Islam telah
dipegang oleh Zaid b Harithah yang kemudiannya gugur syahid, diambilalih pula oleh Jaafar bin
Abu Thalib. Beliau turut syahid, maka bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin Rawahah yang
juga gugur sebagai syuhada'. Lantas bendera bertukartangan kepada Thabit bin Arqam dan
menyerahkannya kepada Khalid al-Walid. Atas persetujuan ramai, maka Khalid al-Walidpun
menjadi komandan perang dan terus mengarahkan tentera Islam berundur ke Madinah kerana
sudah terlalu ramai yang syahid dan tentera yang tinggal tidak mampu untuk bertahan lagi.
 
Di zaman Khalifah Abu Bakar, Khalid ditugaskan untuk mengahpuskan golongan murtad.
Saidina Abu Bakar telah memberi pidato semangat kepada tentera Islam yang antara lainnya

berbunyi :"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sebaik-baik hamba Allah dan
saudara dalam satu suku iaitu Khalid b Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan dihayunkan
kepada orang-orang kafir dan munafik"
 
Beliau juga ditugaskan untuk membunuh Musailamah Al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi
dan mempunyai ramai pengikutnya. Dalam peperangan tersebut (Perang Yamamah), ramai
tentera Islam yang terkorban. Khalid All-Walid sebagai pahlawan sejati yang pakar dalam
strategi peperangan telah berjaya memberi semangat baru kepada tenteranya dengan
ucapannya yang penuh karisma. Beliau berteriak kepada tenteranya : "Bergembiralah kerana
kami akan melihat setiap orang akan mengalami bencana masing-masing"
 
Dalam Perang Yarmuk menentang tentera Rom, beliau telah berjumpa dengan panglima
musuh yang bernama Mahan yang dengan angkuhnya merendah-rendahkan moral tentera
Islam. Mahan telah berkata : "Aku tahu kamu semua meninggalkan tanah air kerana terpaksa
dan kelaparan. Jika kamu semua setuju, aku akan   berikan setiap seorang tentera 10 dinar
beserta dengan pakaian dan makanan dengan syarat mereka berangkat pulang dan tahun
depan jumlah yang serupa akan dihantar ke Madinah".
 
Khalid b Al-Walid dengan tegasnya menjawab : "Kami tidak akan keluar dari negeri kami kerana
kelaparan seperti yang engkau sangkakan. Tetapi kami ialah satu kaum yang suka minum
darah dan kami tahu tidak ada darah yang lebih lazat dan nikmat seperti darah orang Romawi,
sebab itulah kami ke mari"
 
Setelah itu, Khalid Al-Walid selaku komandan perang beerteriak dengan kuatnya sambil
bertakbir "Allahu Akbar" "Marilah kita berebut-rebut mencium bau Syurga". Maka terjadilah
peperangan yang amat dahsyat. Anak panah bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.
Tiba-tiba seorang tentera Islam menghampiri Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a.sambil berkata :
"Sesungguhnya aku bercita-cita untuk mati syahid, adakah engkau mempunyai sebarang
pesanan yang hendak disampaikan kepada Rasulullah SAW, kelak aku akan sampaikan
kepada baginda ketika aku berjumpanya (di Syurga)"
 
Jawab Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a : "Ya ! Katakan kepadanya : "Wahai Rasulullah SAW !
Sesungguhnya kami telah dapati bahawa apa yang dijanjikan oleh Tuhan Kami (Allah) adalah

benar". Lalu tentera tadi bertempur dengan hebatnya dan gugur sebagai syuhada'.
Dalam suasana perang tersebut Khalid al-Walid bersemuka dengan seorang daripada panglima
Romawi yang bernama George lalu terjadilah dialog antara keduanya.
George  bertanya : "Wahai   Khalid, hendaklah kamu berkata benar kerana setiap orang yang
merdeka tidak akan berbohong. Apakah benar bahawa Tuhanmu telah menurunkan kepada
Nabimu sebilah pedang dari langit lalu diberikan kepadamu dan kalau dihayunkan kepada
seseorang pasti dia akan kalah"
 
Khalid b Al-Walid menjawab : "Tidak"
George bertanya lagi : "Mengapa kamu disebut Pedang Allah ?"
Khalid b Al-Walid berkata : "Bahawa Allah SWT telah mengutuskan kepada kami seorang Rasul
dari bangsa kami, tetapi ada yang mempercayainya dan ada yang mendustanya. Aku sendiri
termasuk dari kalangan orang yang mendustakannya tetapi Allah telah membuka hatiku kepada
Islam. Lalu aku mengadap Rasulullah untuk memeluk Islam dan janji setia kepadanya.
Rasulullah terus menyatakan : "Engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah"
 
George bertanya lagi : "Apa yang kamu dakwahkan kepada manusia"
Khalid b Al-Walid menjelaskan : "Supaya mereka mentauhidkan Allah dan menerima ajaran
Islam"
George seterusnya berkata : "Jika seseorang memeluk Islam sekarang seperti apa yang telah

berlaku kepadamu, adakah dia akan mendapat ganjaran ?"
 
Khalid b Al-Walid menjawab : "Ya, itulah yang lebih utama"                      
George  berkata : "Bagaimana yang terjadi kepadamu sebelum Islam ?"
Khalid b Al-Walid menjawab : "Kami hidup bersama Rasul lalu kami lihat tanda-tanda kenabian
serta mukjizatnya. Kami benar-benar melihat dan mendengarnya, lalu kami memeluk Islam
dengan mudah. Tetapi kamu tidak pernah melihat dan mendengarnya, kiranya kamu beriman
dengan apa yang tidak kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih besar jika kamu beriman
kepada Allah dengan jiwamu"
 
Akhirnya George telah mengucap syahadah di hadapan Khalid, belajar cara solat dan sempat
solat dua rakaat. Kemudian beliau adalah seorang syuhada' perang Yarmuk............. !!! dan
tentera Islam berjaya menumbangkan tentera Rom yang berjumlah 240,00 orang.
Ramai di kalangan tentera Islam yang syahid dan tidak kurang pula yang sakit, luka dan
cedera. Mereka yang cedera parah, apabila seorang diberikan air, lantas dia berkata rakannya
di sebelah lebih memerlukan. Lalu diberikan kepada rakannya, tiba-tiba orang yang kedua pun
bersikap serupa, lebih mementingkan rakan yang lain..........begitulah seterusnya sehinggakan
orang memberi air berpusing-pusing di antara mereka tetapi belum ada yang sudi
meminumnya. Maka, kesemua mereka mati syahid di medang perang tersebut !   Ini
membuktikan betapa wujudnya perasaan kasih kepada saudara seperti kasih kepada diri
sendiri memang menjadi amalan mereka sebagaimana yang ditarbiahkan oleh Rasulullah SAW



No comments:

Post a Comment